DISEMBER 2024

CCUS Sumber Pendapatan Baharu Sarawak


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg hadir ke Majlis Penghargaan Pihak Berkepentingan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Sarawak 2024 di Hotel Sheraton, malam tadi.

Ketika berucap di majlis tersebut, Abang Johari berkata Sarawak berpotensi menjadi peneraju dalam sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di rantau ini dan boleh memanfaatkan telaga minyak dan gas kosong yang banyak di perairannya untuk dijadikan tempat penyimpanan karbon.

Ia sekali gus akan  menjadi sumber pendapatan baharu untuk Sarawak, katanya.

“Kita terlibat dalam perdagangan karbon dan memiliki undang-undang rumah hijau sendiri. Justeru, Sarawak negeri pertama mempunyai undang-undang rumah hijau,” katanya.

Katanya, inisiatif dilaksanakan Kerajaan Sarawak adalah selaras dengan usaha antarabangsa untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Tambahnya lagi, Sarawak memerlukan juruaudit dari kalangan akauntan yang berkebolehan untuk menilai kualiti karbon yang hendak didagangkan termasuk oksigen yang dihasilkan di negeri ini.

Turut hadir malam tadi adalah Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia Manohar Benjamin Johnson, mantan ADUN TAsik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie dan Presiden ACCA Sarawak Peter Chiam.